Kita pasti pernah mendengar kisah rakyat yang menceritakan tentang sang kasatria yang berjaya membawa satu kelainan dan perubahan yang berkekalan lantas menakluki dunia remajanya. Sebagai golongan muda masa kini, anda juga berpeluang menjadi WIRA. Ingin tahu bagaimana caranya? Senang sahaja – sahut cabaran ini. Libatkan diri anda dan bersuara bermula hari ini.

PENGLIBATAN anda secara aktif dan positif di dalam dunia yang anda lalui sebagai seorang belia remaja masa kini boleh merubah anda menjadi seorang WIRA : WIRA kepada keluarga, institusi pembelajaran serta masyarakat anda.

1Yakin dan berwibawa.

Dengan adanya dorongan dan galakkan untuk sentiasa melibatkan diri dalam segala aktiviti dan perkara yang melibatkan hal belia, sudah pastinya golongan muda seperti anda akan lebih yakin untuk melalui peralihan zaman dari kanak-kanak ke alam remaja. Anda akan lebih yakin dalam membincangkan isu-isu semasa secara rasional. Anda juga akan nampak lebih matang dalam menjalani amalan seharian anda di rumah mahupun di sekolah serta lebih yakin untuk melangkah keluar berdamping dengan masyarakat atau menyahut seruan demi negara tercinta.

2Bekalan minda anak muda negara.

Golongan muda seperti anda yang diberi galakkan untuk berkongsi serta menyuarakan pendapat bermula dari rumah mahupun di sekolah akan memperolehi kemahiran baru terutama sekali dari segi anda berkomunikasi dan berfikir secara kritikal. Tambahan pula, anda dapat berbincang mengenai sesuatu isu serta membuat sesuatu keputusan dengan lebih baik dan tepat. Ini bukan sahaja akan memperbaiki prestasi akademik anda, malah akan membantu anda menjadi lebih mahir dan berpengetahuan dalam menyumbang ke arah sesuatu yang positif untuk masyarakat.

3Idea baru, penyelesaian baru.

Penglibatan sihat dan bernas anda membolehkan golongan muda berkongsi idea, pengalaman dan aspek-aspek penting yang memberikan golangan dewasa satu pemahaman yang mendalam tentang apa yang anda lalui serta membantu dalam pembentukkan dasar kepada sesebuah polisi dan sistem yang diamalkan. Anda akan menjadi penyumbang tegar yang sedia memberi khidmat serta merancang program-program bersesuaian.

4Hormat dan toleransi.

Penglibatan anda dalam mengutarakan idea dan pengalaman anda akan membantu membentuk golongan muda yang juga merupakan golongan penyelesai masalah. Ini sudah pasti akan mengasah sifat-sifat kepimpinan supaya anda dapat bertindak secara responsif terhadap isu yang memberikan kesan terhadap masyarakat. Antaranya seperti isu berkaitan diskriminasi jantina, keganasan dan penyalahgunaan, stigma dan diskriminasi serta perubahan iklim.

5Masyarakat demokratik.

Amalan demokrasi seperti menghormati hak dan nilai kemanusiaan segenap lapisan masyarakat perlu dipelajari sejak di bangku sekolah lagi. Dengan adanya unsur pengetahuan dan pemahaman ini di dalam diri, penglibatan anda secara umumnya akan menjadi asas kepada perpaduan semua kaum justeru menjanjikan dunia yang aman dan makmur.

5 perkara yang harus diambil-kira oleh mana-mana Pemimpin
PEMIMPIN anda perlu:

  1. Memperkenalkan hak asasi kanak-kanak ke dalam kurikulum sekolah.
  2. Mempertingkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan hak bersuara bagi golongan muda.
  3. Memastikan dasar polisi berkaitan dengan kanak-kanak dan belia diperkenalkan berdasarkan pandangan dan pendapat dari golongan muda.
  4. Melaksanakan undang-undang yang memberi perlindungan terhadap golongan muda yang melibatkan diri secara aman dan bertanggungjawab.
  5. Menubuhkan majlis kounsil dan badan berkuasa yang dapat membawa isu-isu berkenaan golongan muda ke peringkat yang lebih tinggi.