English    |    Malay

Manifesto Belia #ENDviolence (#HENTIKANkeganasan) didrafkan pada Disember 2018 oleh seramai lebih 100 orang kanak-kanak dan orang muda dari seluruh dunia, termasuk Malaysia. Ia juga berdasarkan lebih 1 juta respons daripada kanak-kanak dari lebih 160 buah negara, serta cadangan-cadangan daripada siri Ceramah Belia #ENDviolence yang diketuai pelajar daripada seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Prinsip-prinsip keseluruhan

Slide5(c) UNICEF Malaysia/Pirozzi

Kepelbagaian dan toleransi
Kesamaan merupakan asas dalam menggalakkan kepelbagaian dan toleransi di sekolah. Kesamaan patut diajar dan ditunjukkan di rumah serta dikukuhkan di sekolah. Kita mesti mengiktiraf bahawa kita semua adalah sama. Segala perbezaan kita, termasuk budaya, jantina, identiti, kekurangupayaan, orientasi seksual, kewarganegaraan, kaum, etnik, status migrasi, dan agama membuat kita istimewa dan patut diraikan, bukan memecah-belahkan kita. Kurikulum, guru, masyarakat, media, dan institusi seperti kerajaan kita, menanggung tanggungjawab untuk mempromosi, mengamalkan, mengajar dan memastikan sekolah menjadi persekitaran yang selamat dan inklusif untuk semua. Mereka mempunyai tanggungjawab untuk menghilangkan dan mencegah stigma yang menghalang kita daripada mencapai kesamaan di bilik darjah dan di dunia.

Perlindungan untuk semua pelajar
Dalam usaha memelihara prinsip kewujudan bersama yang aman dan saling menghormati, serta sebagai institusi di mana perubahan boleh dilakukan, pihak sekolah, dengan kerjasama ibubapa, rakan sebaya dan masyarakat umum, mesti menjaga, menyokong dan melindungi semua pelajar – termasuk mereka yang mengalami keganasan dan mereka yang mengamalkan tingkah laku yang ganas.

Kami mengikat janji:

Slide6(c) UNICEF Malaysia/Pirozzi

Berbuat baik 
Kami mengikat janji untuk melayan komuniti kami dengan hormat dan cermat dan untuk bersuara apabila ia selamat untuk melakukan sedemikian. Kebaikan adalah sebuah tanggungjawab yang bermula dengan setiap seorang antara kita.

Melaporkan keganasan
Kami mengikat janji untuk mengatasi sebarang pantang dan pemangsaan yang wujud terhadap pelaporan keganasan. Kami akan mencari pihak berkuasa yang dipercayai seperti guru, kaunselor, wakil komuniti dan pelajar-pelajar lain apabila kami menyaksikan atau mendapat tahu tentang keganasan di dalam dan luar sekolah. Kami juga mengikat janji untuk mewujudkan saluran-saluran yang diketuai belia untuk melaporkan keganasan.

Mengambil tindakan
Kami mengikat janji untuk memulakan dan menyokong inisiatif-inisiatif yang akan menggalakkan kesatuan, sifat ingin tahu, dan sifat saling menghormati di rumah, di sekolah, dan di kalangan komuniti-komuniti kami – termasuk online (dalam talian). Kami akan saling melindungi dan mendukung satu sama lain. [#I’veGotYourBack (#AkuMendukungmu)]

Kami menuntut:

Slide7(c) UNICEF Malaysia/Humphries

Jangan meremehkan kami
Kami menuntut agar ibu bapa, penjaga, sekolah-sekolah sebagai istitusi, pembuat dasar, dan komuniti kami mengiktiraf intisari kewujudan kami, kesamaan kami, hak maruah kami, hak kami untuk wujud dalam harmoni dalam persekitaran yang bebas daripada segala bentuk keganasan. Kami menuntut agar di mana wujudnya keganasan, ia mesti ditangani dengan kesegaraan yang diperlukan, tanpa meletakkan beban tersebut ke atas kanak-kanak.

Tentukan peraturan yang jelas
Kami menuntut perlindungan daripada dan pencegahan segala bentuk dan tahap keganasan di sekolah yang harus dikawal oleh peraturan, pengawalan, dan rancangan tindakan yang jelas untuk membolehkan pembaharuan dan bantuan bagi sesebuah persekitaran pembelajaran yang selamat untuk semua.

Bentukkan undang-undang untuk mengehadkan senjata
Kami menuntut agar pembuat dasar meluluskan dan melaksanakan undang-undang yang mengehadkan kehadiran dan penggunaan mana-mana objek sebagai senjata di sekolah, termasuk tetapi tidak terhad kepada senjata api dan pisau.

Pastikan keselamatan kami ke dan dari sekolah  
Kami menuntut keselamatan untuk perjalanan kami ke dan dari sekolah. Kami tidak mahu sesiapa mengapa-apakan kami dalam mana-mana cara apa pun. Kami juga menuntut agar dilindungi undang-undang dan hukuman untuk pelanggar undang-undang.

Sediakan kemudahan sekolah yang selamat
Kami menuntut persekitaran pembelajaran yang selamat, termasuk bangunan dan tapak, padang permainan dan kelengkapan tetap. Kami mahu koridor, bilik darjah, dan bilik mandi dengan pilihan yang neutral jantina untuk dicahayakan secukupnya. Kami mengharapkan langkah-langkah keselamatan seperti pagar, kamera, dan anggota sekuriti yang cukup terlatih untuk diperuntukkan dengan sesuai. Staf sekolah dan pelajar memerlukan arahan tentang tindakan yang perlu diambil sekiranya berlakunya kecemasan.

Latih guru dan kaunselor sekolah
Kami menuntut agar para guru dan kaunselor menjalani latihan yang sedia ada dan boleh mengenalpasti, bertindak balas terhadap, menyokong dan merujuk pelajar yang terjejas akibat isu keganasan berasaskan sekolah kepada perkhidmatan yang sesuai. Latihan seharusnya melengkapkan para guru dan kaunselor untuk mempunyai kecerdasan emosi, untuk menangani isu-isu inklusiviti dan kepelbagaian serta menyediakan disiplin yang positif untuk semua kanak-kanak.

Ajar keizinan dan bertindak balas terhadap kegansan seksual
Kami menuntut agar semua sekolah mengajar semua pelajar, tanpa mengira usia, identiti jantina, seks, kekurangupayaan, agama, bangsa dan orientasi seksual, untuk menghormati batasan fizikal dan seksual masing-masing. Semua sekolah mesti menyediakan cara-cara yang mudah digunakan dan yang boleh dipercayai untuk melaporkan kes-kes gangguan dan serangan sekusal (sama ada secara fizikal, psikologi, emosi dan/atau lisan) seperti yang termaktub dalam dasar/dokumen sekolah yang berkuatkuasa dan yang harus bersifat inklusif.

.